Tuesday, October 19, 2010

SYABAS KONTINJEN SUKAN KOMANWEL NEGARA


Sudah lima hari tirai Sukan Komanwel ke-19 dilabuhkan, namun dikalangan warga sukan perbualan mahu pun perbincangan berkaitan prestasi atlet dan pasukan kita masih rancak kedengaran.

Memang, perolehan 12 emas 10 pingat perak dan 14 gangsa menjangkaui ramalan namun haikatnya keyakinan untuk meraih lebih dari itu sebenarnya ada, bersandarkan prestasi yang dipamerkan oleh sesetengah atlet.

Dalam sukan,malah apa jua bidang sekali pun, tiada sesuatu yang mustahil sekiranya sesaorang atlet itu berlatih dengan tekun, mengikut segala tunjuk ajar jurulatih dan senantiasa berpegang kepada keyakinan serta selalu bersemangat tinggi.

Inilah yang dapat saya perhatikan sepanjang terlibat dalam kerja-kerja ulasan di Astro Arena sepanjang Sukan Komanwel lalu.

Kesungguhan Pandalela Rinong mahu berjaya jelas tampak pada setiap kali aksi terjunannya. Gadis berusia 17 tahun itu memiliki semangat tidak mudah menyerah kalah, dia berjaya memperbaiki kualiti terjunan dalam setiap persembahannya tampa menidakkan kewibawaan Leong Mun Yee, Cheong Jun Hong serta Ng Yan Yee.

Buat Elaine Koon, atlet gimrama yang menyumbangkan pingat individu terbanyak dengan emas melalui acara gelung membuktikan bahawa keupayaan beliau menghilangkan rasa gementar dan takut kepada pencabar lain ternyata membuahkan hasil. Dengan Sukan Komanwel sebagai penampilan sulung ditemasya sukan terbesar keberanian gadis dari Kajang Selangor ini wajar disanjungi.

Sumbangan emas Amirul Hamizan Ibrahim dalam kelas 56kg Angkat Berat turut menceritakan bagaimana semangat jaung tinggi yang dimiliki oleh atlet yang mengasah bakatnya di Kuala Rompin ini. Kesabaran dan sikap tidak berputus asa yang dipegang Amirul wajar diceritakan juga kepada generasi atlet-atlet muda kita.

Apa kurangnya dengan Arrico Jumitih, badang muda mengaut emas angkat berat 62kg, dia membuktikan segala pengorbanan yang ditempuh selama ini berakhir dengan kejayaan cemerlang. Watak juang untuk mengatasi setiap angkatan pencabar jelas terpampang dan akhirnya dia berjaya.

Buat Bibiana Ng, emas acara 10m Air Pistol juga menceritakan betapa semangat tidak kecewa dan jangan berputus asa akan menelurkan kejayaan.

Bagi Nur Ayuni dan Nur Suryani emas acara 10m Air Rifle berpasangan juga menyerlah betapa semangat kerjasama dan saling mempercayai perlu diterapkan dalam saingan bersifat pasukan.

Emas yang lain melalui Josiah Ng Basikal Keirin, Pasukan Badminton Berpasukan dan individu melalui Dato Lee Chong Wei, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Chin Eei Hui/Koo Kien Keat serta dari puteri Skuash Dato Nicol Ann David, melengkapkan episod kecemerlangan bersejarah di Sukan Komanwel ke-19.

Bagi pasukan-pasukan dan atlet-atlet lain yang kembali tampa emas, perak mahu pun kilauan gangsa, saya harap janganlah patah semangat, teruskanlah usaha tanamkan kembali keyakinan diri untuk berjaya selepas ini.

Syabas dan tahniah juga buat atlet-atlet penyumbang pingat Perak dan Gangsa, sungguh pun berakhir bukan dipodium tengah yang amat didamba, namun kesungguhan untuk mahu menang itu itulah yang telah kami saksikan lalu terbit rasa bangga seperti bait-bait pantun Laksamana.."patah sayap bertongkat paruh, gunung ku daki kan ku daki".

Ayuhlah barisan Atlet-Atlet Negara, berjuanglah di Sukan Asia.

0 comments: