Saturday, October 30, 2010

RANGKAIAN MEDIA SUKAN

Semalam saya diundang oleh urus setia Konvensyen Sukan Kebangsaan 2010 selaku mederator berkaitan topik "Rangkaian Media Sukan Dan Penonton".

Majlis berlangsung di Golden Horses Palace, Mines Seri Kembangan. Peserta terdiri pengamal-pengamal sukan pelbagai bidang serta agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Tetamu saya bagi membincangkan topik ini adalah Saudara Abu Bakar Atan dari TV3 dan Saudara Lee Choong Khay mewakili Astro.

Agak memeranjatkan tajuk tersebut mendapat perhatian para peserta, ianya dapat dilihat melalui sambutan peserta pada sessi soal jawab selepas kami menjelaskan serba sedikit berkaitan media serta hubungan atau kaitannya dengan para penonton.

Sebenarnya tajuk Rangkaian Media Sukan dan Penonton agak luas, ianya perlu dilihat dari pelbagai aspek dan kaedah perlaksanaannya. Sehubungan itu agenda bual bicara kami lebih berkisar tentang peranan dan hubungan TV dan para penonton.

Sebenarnya apabila kita menyebut media, kita tidak boleh tidak perlu melihat juga akan peranan dan sumbangan sektor media cetak serta media-media baru dalam arus sukan semasa terhadap perkembangan sukan dinegara ini.

Hubungan dan peranan media dalam sukan adalah ibarat irama dan lagu, keduanya amat saling bertaut dan saling bergantungan.

Dari sekecil-kecil acara hinggalah ke segadang-gadangnya kejohanan, peranan media amat penting. Media bertindak sebagai agen, bukan sahaja kepada pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam penganjuran kejohanan seperti penaja dan pelaksana malah kepada para penonton atau masyarakat juga.

Seperkara yang semakin dirasai, adalah perubahan-perubahan yang berkait tentang kelansungan laporan-laporan yang disampai hebahkan oleh media. Harapan untuk menonton mahu pun membaca berita-berita sukan tempatan khususnya, semakin dicabar oleh tuntutan semasa yang bukan sahaja dihadapi oleh pihak penganjur malah cabaran itu turut berlaku dipihak media.

Sekarang ini jika kita mahu memastikan berita dan aktiviti kejohanan yang kita anjurkan itu mampu disiar hebahkan oleh pihak media serta mengembirakan para penaja, kita harus berbelanja kearah itu, ianya tidak lagi seperti dahulu, namun begitu masih juga terdapat agensi-agensi kerajaan yang membantu kearah itu.

Di Malaysia, sukan kini menjadi elemen penting dalam siaran TV Berbayar dan tereterial atau stesen TV percuma. Dalam perkara ini nampaknya stesen TV berbayar lebih aktif berbanding stesen-stesen TV percuma sedia ada.

Kemunculan Astro Arena misalnya semakin merancakkan arena sukan tempatan dan ianya perlu disambut oleh setiap mereka yang terlibat dalam sukan dinegara ini sebagai sesuatu yang mampu membawa faedah menang-menang.

Industri Sukan dan TV terbukti telah menjana jumlah berbillion ringgit menerusi penajaan pengiklanan dan penjualan/pembelian masa siaran.

Melihat kepada itu semua, kita harus sedar dan melihat bahawa yang mencorrakkan kepada perkembangan sebegitu rupa adalah sebahagian daripada sumbangan dan peranan yang telah dicetuskan oleh platform yang kita namakan media.

Kini kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan sedang menunjangi arah tuju sukan negara kepada suasana industri sukan dinegara ini. Sesungguhnya ianya adalah satu tindakan yang amat tepat dan amat perlu disokong oleh setiap pihak dan disambut baik oleh setiap anggota masyarakat.

Bagaimana pun, bagi menjana kearah hasrat murni itu, pendekatan yang sedia ada harus ditingkatkan disamping pelan perancangan yang lebih padu serta dinamik perlu segera dirangka dengan melibatkan semua cabang masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Bagi merealisasikan cita-cita ini saya amat merasakan pendekatan kearah membudayakan sukan itu sendiri dikalangan masyarakat harus kita alihkan kedepan supaya apabila masyarakat lebih menyedari, semakin mahu bersukan, lebih meminati dan mahu mengikuti perkembangan sukan, maka akhirnya kelak, InsyaAllah, lahirlah satu budaya sukan dinegara ini, yang mana pada masa itu habuan bukan lagi menjadi satu isu diperingkat permulaan.

Untuk mencorakkan itu semua peranan media wajib menjadi keutamaan.

0 comments: